Tidakkah anda perhatikan bahawa ada sebahagian orang yang menyalahkan takdir atau konsep keimanan terhadap takdir sebagai salah satu sebab utama kemunduran umat? Mereka mengatakan umat sudah tidak mahu berubah dan tiada kemahuan untuk berusaha kerana keimanan mereka terhadap takdir. Manusia jatuh ke dalam belenggu kemiskinan kerana mereka menganggap Allah sudah menetapkan mereka menjadi orang miskin, walhal mereka belum berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki keadaan mereka itu. Mereka beranggapan bahawa Allah telah menetapkan semuanya dan tidak perlulah mereka berusaha untuk mengubahnya. Keadaan ini benar-benar wujud di dalam dunia kita sekarang ini dan bukan sedikit orang Muslimin yang telah menggunakan takdir bagi menutup sikap malas dan ketidakupayaan mereka.
Kesemua masalah ini berlaku disebabkan ketidakfahaman umat terhadap konsep takdir itu tadi. Harus diperjelaskan bahawa bukan salah takdir kalau kaum Muslimin menjadi lemah dan malas. Kaum Muslimin dahulu juga mempercayai akan takdir namun mereka tetap menjadi kaum yang berjaya, bukannya menjadi umat yang lemah dan kalah. Mereka mampu tampil menjadi pemimpin peradaban. Mereka mampu mengembangkan dakwah Islam sehingga sampai ke seluruh pelusuk dunia.
Pernah suatu ketika Umar bin Al-Khattab r.a. memimpin satu sidang pengadilan. Seseorang telah ditangkap ketika sedang mabuk dan dia diadili. Ketika Umar bertanya kepadanya mengapa dia melakukan perbuatan dosa itu, orang tersebut menjawab, "Yang saya lakukan ini merupakan takdir dariNya." Mendengar jawapan itu, Umar r.a. turun dari tempatnya dan menghampiri orang tersebut lalu menamparnya dengan kuat sehingga orang itu terkejut. Dia tertanya-tanya kenapa Umar r.a. menamparnya. Umar berkata,"Itu juga takdir." Sayyidina Umar r.a. sengaja berbuat demikian dengan tujuan untuk memberi pengajaran kepada pesalah tersebut kerana ternyata pesalah itu mahu melepaskan dirinya dari kesalahan yang telah dilakukan dan cuba melemparkan kesalahan itu kepada Allah. Dia menyalahkan ketetapan Allah.
Memang benar itu semua ketetapan Allah namun itu tidak bererti manusia tidak boleh berusaha untuk menghindarinya. Ini merupakan salah satu contoh salahfaham sebahagian kaum Muslimin terhadap persoalan takdir.
Firman Allah di dalam Al-Quran:
"Dan masing-masing mereka memperoleh darjah-darjah dengan apa yang dikerjakannya. Dan Tuhanmu tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan." (Al-An'am:132)
"Dan katakanlah, "Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (At-Taubah:105)
Wallahualam.