Wednesday, 25 January 2012

MENYEGERAKAN AMALAN



ISLAM memerintahkan kita umatnya untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan kerana ia akan memberikan kita ketenangan jiwa dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa." – (Surah Ali Imran, ayat 133).


Orang yang sentiasa ingat akan mati sudah pasti akan bersegera melakukan amal kebaikan dan bertaubat serta meninggalkan segala amalan yang memungkinkan dirinya dimasukkan ke dalam neraka kelak. 

Hasan Al-Basri berkata:
"Bersabarlah dan bersiaplah kamu. Sebab yang ada hanyalah hari-hari yang singkat. Kamu hanyalah kafilah yang berhenti sebentar. Salah satu dari kamu hampir dipanggil  lalu dia datang mengadap dan tidak menoleh-noleh.  Maka berpindahlan kamu dengan membawa amal kamu yang soleh."

Sebaliknya orang yang lalai dan alpa akan sentiasa menunda-nunda atau menangguh-nangguh dari melakukan amalan kebaikan kerana dirinya merasakan bahawa waktu kematiannya masih jauh. Masih belum waktunya untuk berubah menjadi hamba yang lebih baik.  Bila hampir masanya nanti barulah bertaubat. 

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:
"Bersegeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir dan begitu juga sebaliknya seorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit, (Hadis Riwayat Muslim)."

Dalam hadis di atas, Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Akan datang satu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan. Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Malah, mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini sehingga terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya.


Ingatlah wahai sahabatku sekalian, kita semua tidak pasti bilakah ajal akan menjemput kita.  Hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui masa, tempat dan bagaimana kita akan dijemput kepada-Nya kelak.  Oleh yang demikian adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk sentiasa menyiapkan diri dengan sebanyak mungkin amalan sebagai bekalan agar kita terselamat di hari  dimana semua harta kekayaan dan pangkat darjat sudah tidak mampu membantu kita lagi.

Rasulullah S.A.W. sering berpesan kepada umatnya supaya tidak mensia-siakan waktu yang terluang  berlalu pergi begitu saja tanpa pengisian amal yang terbaik. Setiap Muslim hendaklah menginsafi bahawa waktu yang sedang berlangsung ini sangat berharga dan tidak dapat diganti sama sekali

Abdullah bin Umar radhiyallahu’anhuma berkata : Rasulullah S.A.W. memegang kedua pundakku dan mengatakan, ”Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau orang yang singgah di perjalanan.” Ibnu ‘Umar berkata, “Kalau engkau berada di waktu pagi jangan sekedar menunggu datangnya waktu sore. Kalau engkau berada di waktu sore jangan sekedar menunggu datangnya waktu pagi. Manfaatkanlah waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu. Dan gunakanlah masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” (HR. Bukhari)

Semoga Allah menjadikan kita semua tergolong di dalam golongan hamba-hamba-Nya yang tidak sombong kerana nikmat-Nya, tidak lalai dalam beribadah kepada-Nya dan tidak menyesal setelah kematian menjemput kita kepada-Nya. 

Ibnu Mas'ud ra berkata:-
"Tidak ada seorang diantara kita kecuali merupakan tetamu dan hartanya adalah pinjaman.  Sedangkan tetamu pasti akan berangkat pulang dan pinjaman pasti dikembalikan."

Manakala Salman Al-Farisi pula pernah berkata:-
"Ada tiga hal yang mengagumkan aku sampai aku tertawa: iaitu orng yang mengharapkan dunia sementara maut selalu mengejarnya, orang yang lupa sementara dia tidak dilupakan dan orang yang tertawa sementara dia tidak tahu apakah Tuhan semesta alam meredainya atau memurkainya.  Dan ada tiga hal yang menyusahkan aku sampai aku menangis kerananya: berpisah dengan orang-orang tersayang, iitu Nabi S.A.W. dan para sahabat baginda, pemandangan yang menakutkan dan berdiri dihadapan Allah sementara aku tidak tahu akan diperintahkan aku kemana; ke syurga atau ke neraka."

Allah memberi panduan supaya setiap Muslim setelah selesai menunaikan satu amalan, maka waktu yang terluang hendaklah diisi dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
 “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). – (Surah al-Insyirah, ayat 7).


Wahai sahabat-sahabatku sekalian!  Bersama-samalah kita bersegera kearah melaksanakan amalan-amalan kebaikan.  Janganlah kita bertangguh-tangguh lagi kerana masa tidak menunggu kita.  Semoga kita semua menjadi hamba-Nya yang berjaya di dunia dan di akhirat.  InsyaAllah.

Tuesday, 24 January 2012

PETIKAN AYAT-AYAT SUCI AL-QURAN


Firman ALLAH di dalam Surah Al-Maidah, ayat 72-73 yang bermaksud:-


"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata, 'sesungguhnya Allah ialah al-Masih ibn Maryam.' Padahal al-Masih sendiri berkata, 'Wahai Bani Israel!  Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu'.  Bahawasanya sesiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain,maka Allah pasti mengharamkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka.  Tiada seorang penolong pun bagi orang yang zalim."


"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata,'Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan.'  Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa.  Jika merreka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang yang kafir antara mereka akan dikenakan azab yang pedih."

Tuesday, 10 January 2012

MENGINGATI MATI



Hidup dan mati merupakan dua perkara yng pasti dirasai oleh semua makhluk yang bernyawa.  Setiap yang hidup pasti akan mati.  Allah telah menegaskan bahawa Allahlah yang menjadikan hidup dan mati dan hanya Dia yang berkuasa menghidupkan dan mematikan.

"Maha suci Allah yang di tanganNya segala kerajaan dan Dia maha Berkuasa atas segala sesuatu.  Yang menjadikan hidup dan mati, supaya Dia mwnguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya." (Surah Al-Mulk:1-2)

FirmanNya lagi:

"Tidak ada Tuhan selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan." (Surah Al-A'raaf:158)

Oleh itu kita sebagai manusia yang masih bernyawa, bersama-samalah kita mengingati mati dan bersegeralah kita melakukan amal kebaikan sebelum ajal menjemput kita.

Abdullah bin Muthrif mengatakan : "Kematian itu dapat melenyapkan kenikmatan yang dirasakan oleh orang-orang yang diliputi kenikmatan tersebut.  Oleh itu carilah kenikmatan yang tidak ada penghabisannya."

Monday, 9 January 2012

JANGANLAH MEMBEBANI DIRI DI DALAM URUSAN AGAMA



Wahai saudaraku sekalian, Allah tidak pernah membebani kita di dalam urusan agama dan Dia memberi kita kemudahan melaksanakan segala suruhanNya.

"Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu." (Al-Baqarah:185)

Berdasarkan ayat di atas, kita tidak boleh memberatkan diri kita di dalam beribadah kepada Tuhan.  Orang yang memberatkan dirinya sendiri di dalam beribadah, lambat laun akan cepat merasa bosan dan jemu serta tidak mampu melaksanakan ibadah itu lagi.  Rasulullah pernah bersabda:

"Sesungguhnya agama itu mudah, dan sekali-kali seseorang tidak menyukarkan agama melainkan justeru dia dikalahkan.  Maka benarkanlah.  Bersahajalah, berilah khabar gembira dan memohonlah pertolongan dengan pergi pada waktu pagi dan petang serta sebahagian dari akhir malam."

Ambillah jalan tengah iaitu tidak meremehkan dan tidak pula berlebih-lebihan.  Janganlah kita bertumpu melaksanakan untuk kepentingan akhirat sehingga kita lupa kepentingan dunia.

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri Akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi."  (Al-Qasas:77)


Sunday, 8 January 2012

SELAMATKAN DIRI DARI API NERAKA


Di dalam nilai kemanusiaan, Islam memandang lelaki dan wanita itu sama rata. Yang membezakan diantara mereka adalah iman mereka sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud:-

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhannyalah mereka bertawakal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka."  (Al-Anfal:2-3) 

 Allah pernah memperlihatkan kepada Rasulullah tentang neraka yang kebanyakan penghuninya adalah wanita.  Rasulullah pernah bersabda:-

"Wahai sekalian wanita!  bersedekahlah kamu sekalian kerana pernah diperlihatkan kepadaku tentang kamu sekalian sebagai sebahagian besar penghuni neraka."
Bersedekah walaupun sedikit dapat mendatangkan rahmat Allah dan maghfirahNya.  Nabi pernah menceritakan:-

 "Sesungguhnya ada seorang wanita pelacur yang melihat seekor anjing yang sedang menjulurkan lidahnya kerana kehausan pada suatu hari yang panas, berputar-putar di sekitar perigi.  lalu wanita itu menanggalkan kasutnya (dan memberi minum kepada) anjing itu, maka dosanya diampuni."

Bahkan kata-kata yang baik dan manis yang keluar dari mulut seorang wanita kepada suami dan anaknya, sudah ditulis sebagai sedekah di sisi Allah, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:-

"Takutlah akan api neraka walaupun hanya dengan (sedekah) separuh kurma.  Lalu apabila kamu tidak mendapatkannya, maka dengan kata-kata yang baik."

Hendaklah juga kita semua bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat apabila kita melakukan kejahatan dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan perkara-perkara yang Allah marah.  Firman Allah di dalam surah An-Nisa', ayat 110:-

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiya dirinya sendiri, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Oleh itu saudari muslimahku,  beristighfarlah selalu, nescaya Allah akan memberikan jalan keluar dari segala kesempitan, membuka jalan keselamatan dari segala kesulitan dan memberi ruang atau kegembiraan dari segala kesedihan di dunia manakala di akhirat nanti, kita akan mendapat ampunan dosa dan mendapat syurga, InsyaAllah.

Luqman al-Hakim pernah berkata kepada anaknya:

"Wahai anakku, biasakanlah lidahmu dengan ucapan: 'Allahumghfir li wa tub 'alayya' kerana sesungguhnya Allah memiliki saat-saat yang di dalamnya tidak ditolak doa orang yang meminta."

Saturday, 7 January 2012

BERAKHLAK MULIA

Akhlak Yang Baik:

Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa sebaik-baik bekal yang dibawa seorang hamba untuk mengadap Allah pada hari kiamat adalah akhlak yang baik, dan sesuatu yang paling berat timbangannya bagi orang mukmin adalah akhlak yang baik.  Akhlak yang baik akan menjadikan segala urusan yang susah menjadi senang, hati yang marah menjadi sejuk, semakin ramai orang akan menyintai kita dan semakin kurang orang yang memusuhi.  Akhlak yang buruk, bukan sahaja membawa sial, malah menjadi sebab datangnya seksaan kepada pelakunya di dunia dan di akhirat nanti.

Sifat Orang Yang Berakhlak Mulia:

  • Tawaduk yakni merendah diri - Orang yang tawaduk kerana Allah akan Allah berkati harta dan keturunannya, dijauhkan segala mudharat yang akan menimpany, menjadikan dia termasuk kedalam kalangan muslimah yang dihormati.
  • Mendahulukan kepentingan orang lain dan suka menghulurkan bantuan tanpa diminta
  • Bersifat penyantun terutama tatkala marah.  Rasulullah pernah bersabda kepada Asyad Abdil-Qais:
          "Pada dirimu ada dua sifat yang dicintai Allah dan Rasul Nya, iaitu penyantun dan 
           sabar"
  • Tawakal kepada Allah
  • Bersifat Benar dan Lurus
  • Menepati Janji
Wallahualam.




Thursday, 5 January 2012

PERLUKAN KITA BERDEMONSTRASI?


Demonstrasi.  Dimana-mana pun orang nak berdemonstrasi.  Kenapa ye?  Adakah dengan berdemonstrasi akan membantu menyelesaikan semua masalah?  Ataupun demonstrasi ini lebih banyak membawa keburukan kepada kestabilan ekonomi negara daripada kebaikannya?  Cuba kita semua renungkan dengan hati dan fikiran yang terbuka, bukannya dengan fikiran yang penuh dengan perasaan benci dan dendam.  

Apakah sudah tidak ada jalan yang lebih baik untuk kita menyuarakan pendapat dan pandangan kepada pihak yang berkuasa tanpa berlaku keganasan dan kerosakan harta benda awam?  


Apa pendapat anda???