Thursday, 27 September 2012

Innocence of Muslims

Rata-rata sekarang ini orang bercerita mengenai filem yang begitu mendapat perhatian di seluruh dunia iaitu "Innocence of Muslims".  Bagaimana penerbit dan penulis skrip filem ini mendapat idea untuk menghasilkan sebuah filem seperti itu?  Apakah mereka melakukan perkara ini dengan niat untuk menghina ataupun disebabkan kejahilan mereka mengenai Islam itu sendiri?

Saya sebenarnya merasa kagum dengan mereka ini kerana akhirnya mereka berjaya menyatukan seluruh dunia Islam untuk bersama-sama bangkit menentang serta memulau penerbitan dan penayangan filem ini.  Walaupun selama ini kita perhatikan umat  Islam itu  berpecah-belah mengikut fahaman dan ideologi politik mereka masing-masing, namun disebabkan filem ini, mereka semua akhirnya kembali bersatu di bawah satu panji besar yang bernama ISLAM.

Filem  kontroversi "Innocence of Muslims" dikatakan telah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.  Namun tidakkah terfikir oleh kita semua sebagai umat Islam itu sendiri, sejauh manakah kita telah berusaha untuk memertabatkan agama yang kita anuti ini ke tahap yang sepatutnya yang lebih mulia.  Sejauh manakah kita sebagai umat Islam merealisasikan ajaran junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu di dalam kehidupan seharian kita semua selama ini? 

Jika kita perhatikan, dahulu Rasulullah SAW berdakwah  dengan cara membawa Islam itu sebagai satu cara hidup yang cukup cantik dan indah.  Semua umat manusia tidak kira mereka Islam ataupun tidak dapat melihat dan memahami Islam sebagai satu agama  dan cara hidup yang  sungguh indah dan adil hanya dengan melihat diri dan kehidupan Rasulullah dan para sahabat Baginda pada masa itu, namun sekarang apakah ini yang berlaku?  Adakah Islam itu masih dapat dilihat sebagai cara hidup yang indah oleh semua?   

Nyata sekali kita sendiri telah gagal untuk membawa agama yang suci ini ke tempat yang sepatutnya.  Sesetengah daripada kita hanya Islam pada luarannya sahaja.  Nama sahaja Islam namun penghayatan dan penerapan Islam di dalam kehidupan jauh tersasar.

Sesetengah daripada kita sendiri jahil tentang agama yang kononnya kita sayangi ini.  Jadi tidak hairanlah kenapa orang bukan Islam melihat agama Islam yang suci ini sebagai satu agama yang biasa-biasa sahaja.  Tiada apa yang istimewa pun berbanding dengan agama yang mereka anuti.

Malah kadang-kadang kita perhatikan, orang bukan Islam itu lebih baik peribadi dan tingkah-lakunya berbanding dengan sesetengah daripada kita yang mengaku sebagai seorang muslim.

Ada pula sesetengah daripada kita merasakan dirinya lebih Islam daripada saudara Islam mereka yang lain. Mereka merasa bahawa pendapat mereka lebih benar berbanding dengan pendapat  orang lain. Ada yang sanggup berbalah dan berperang sesama sendiri semata-mata disebabkan oleh perkara-perkara cabang.  masing-masing nak menunjukkan kumpulan merekalah yang betul. Inilah realiti dunia Islam sekarang ini.

Oleh itu, janganlah kita lekas untuk menyalahkan orang luar yang langsung tidak memahami Islam dalam erti kata yang sebenar-benarnya.  Tetapi salahkanlah diri kita sendiri yang gagal untuk membawa Islam yang indah ini ke dalam kehidupan seharian kita.

Bangkit lah wahai saudara-saudaraku sekalian.  Marilah kita semua kembali bersatu.  Ayuh kita lengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang secukup-cukupnya agar kita tidak menyimpang daripada landasan agama yang benar ini.  Marilah kita sama-sama membawa agama kita yang suci ini ke dalam kehidupan kita agar mereka yang bukan Islam dapat melihat kebenaran dan keindahannya yang sebenar.
 
 

Wednesday, 26 September 2012

HAJI WANITA

HAJI merupakan  satu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya sama ada lelaki atau wanita. Bagi wanita, haji adalah satu jihad seperti dinyatakan di dalam hadis bermaksud:
 
 "Jihad bagi warga tua, kanak-kanak, golongan yang lemah dan wanita ialah haji dan umrah." (Sunan an-Nasaa'i)
 
Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW yang maksudnya: "Ya Rasulullah, setahu kami jihad adalah amal yang paling afdal. Maka, apakah kami dituntut supaya pergi berjihad?" Baginda bersabda: "Tidak! Tetapi jihad yang paling afdal (bagi kalian) ialah haji yang mabrur." (Sahih al-Bukhari)
 
Untuk memperoleh haji mabrur, ia memerlukan kefahaman dan penghayatan tulus ikhlas dalam beribadat. Jemaah haji wanita perlu memahami hukum-hakam dan permasalahan berkaitan kewanitaan seperti mahram, haid, nifas, istihadah serta edah.
 
Jika tidak difahami dan diperingatkan, mungkin akan timbul kekeliruan atau salah faham yang mengakibatkan terjejasnya ibadat haji atau umrah.
 
Mahram
 
Syarat wajib haji bagi wanita selain daripada Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan ialah mendapat keizinan suami atau wali dan ditemani suami atau mahram atau kumpulan wanita yang thiqat (dipercayai).
 
Mereka juga mestilah tidak berada dalam edah. Berdasarkan pendapat Mazhab Syafi'e, wanita yang tidak mendapat keizinan tidak wajib ke atasnya menunaikan haji dan tidak berdosa walaupun dia sudah memenuhi syarat yang lain.
 
Oleh itu, seorang wanita yang hendak menunaikan haji hendaklah ditemani suami atau mahram atau teman wanita yang dipercayai.
 
Sepanjang berada di tanah suci, mereka tidak dinasihatkan keluar bersendirian sama ada ke masjid, menunaikan umrah, ziarah atau sebagainya demi menjaga keselamatan dan mengelakkan fitnah serta sebarang kemungkinan tidak diingini.
 
Jika seseorang jemaah wanita hendak menunaikan umrah atau ziarah, sedangkan suami atau mahramnya tidak dapat pergi bersama, maka dia hendaklah ditemani wanita yang boleh dipercayai.
 
Jemaah lelaki bukan mahram tidak boleh dijadikan teman untuk tujuan berkenaan. Begitu juga menumpang suami kepada jemaah wanita lain, lebih baik dielakkan walaupun isterinya ikut bersama.
 
Haid
 
Haid adalah fenomena biasa dalam kehidupan wanita. Kedatangannya pada setiap bulan satu daripada ciri kewanitaan tulen serta lambang kesuburannya. Haid tidak menghalang wanita daripada mengerjakan semua rukun dan wajib haji atau umrah kecuali tawaf di Baitullah.
 
Aisyah meriwayatkan: "Kami keluar dari Madinah menuju ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila kami tiba di Saraf, aku didatangi haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapa kamu menangis? Adakah kamu didatangi haid? Aku menjawab: Ya! Maka Baginda bersabda maksudnya: Sesungguhnya perkara ini (haid) sudah ditentukan Allah ke atas anak perempuan Adam. Maka, tunaikanlah apa saja yang biasa dikerjakan oleh seseorang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf di Baitillah sehingga kamu suci. (Sahih al-Bukhari)
 
Berdasarkan hadis itu, amalan selain tawaf seperti berniat haji atau umrah, wukuf di Arafah, sa'ie, mabit di Muzdlifah dan melontar jamrah boleh dilaksanakan.
 
Wanita yang didatangi haid ketika mengerjakan Haji Tamattu' iaitu sebelum berniat ihram, dia didatangi haid, maka dia hendaklah berniat ihram seperti biasa selepas melaksanakan sunat-sunat ihram seperti mandi dan lain-lain kecuali solat sunat ihram. Kemudian dia hendaklah menunggu hingga suci barulah disempurnakan umrah. Jika haid berterusan sehingga tiba waktu wukuf, hendaklah dia berniat ihram haji dan jadilah hajinya Haji Qiran dan diwajibkan dam Qiran.
 
Bagi wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklah menyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh dilakukan selepas bersuci. Jika haid berterusan hingga tiba waktu berangkat keluar dari Mekah, dia mestilah menunda tarikh keberangkatan sehingga dia suci dan mengerjakan tawaf rukunnya.
 
Jika keberangkatan tidak boleh ditangguhkan dan jemaah terpaksa berangkat segera, maka apabila sampai ke negerinya, dia hendaklah melakukan tahalul Ihsar dengan menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan niat tahalul (tahalul Ihsar). Tawafnya dan amalan lain yang belum selesai wajib dilaksanakan pada masa akan datang.
 
Kadangkala berlaku masalah darah haid keluar berselang hari. Berdasarkan Imam Syafi'e, darah yang keluar berselang hari tidak melebihi 15 hari 15 malam adalah dikira darah haid. Tempoh itu dikira tempoh haid. Contohnya, hari pertama hingga kelima darah keluar berturut-turut, hari keenam tidak keluar, kemudian hari ketujuh hingga ke-10 keluar lagi, ke-11 dan 13 berhenti kemudian, 14 dan ke-15 keluar semula. Darah yang keluar selepas itu, iaitu selepas hari ke 15 tidak lagi dikira haid. Sebaliknya ia darah istihadah.
 
Dalam keadaan ini, jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid sebelum sempat menyempurnakan umrahnya. Selepas lima hari, dia melihat darah tidak keluar, dia bersuci lalu pergi mengerjakan tawaf, sa'ie dan tahalul. Tiba-tiba pada waktu malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan ini tahallulnya tidak sah. Dia mesti ulangi semula tawaf, sa'ie dan tahalul apabila sudah suci daripada haid. Dia juga dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana mengerat rambut sebelum tiba masanya.
 
Ada pandangan kedua dalam Mazhab Syafi'e, tempoh bersih antara haid itu (dikenali sebagai Fatrah Naqa') dikira tempoh suci dan sah amal ibadat dengan syarat tempoh suci itu melebihi 24 jam.
 
Umpamanya pukul 12 tengah hari dia bersuci kemudian dia menyelesaikan umrahnya. Pukul 3 petang hari berikutnya darah keluar semula, maka umrahnya itu sah. Namun, jika darah keluar sebelum pukul 12 tengah hari berikutnya, maka umrahnya tidak sah.
 
Haid adalah sesuatu yang telah ditentukan sejak azali ke atas wanita. Jadi ia tidak boleh dijadikan sebab tidak sempurnanya ibadah haji. Haid tidak menghalang wanita menunaikan semua rukun dan wajib haji kecuali tawaf di Baitullah.

TABIAT SUKA MENANGGUH KERJA

Pernah tak anda merasa malas dan berkira-kira untuk melakukan sesuatu pekerjaan?  Kadang-kadang kita tahu kita harus menyiapkan kerja tersebut, tetapi kita tangguhkan untuk dilakukan di masa yang akan datang.  Bila?  Kita sendiri tidak tahu.  Akhirnya kita terlupa dan kerja tersebut terbengkalai begitu sahaja.

Tabiat suka menangguhkan kerja merupakan satu tabiat yang amat tidak baik dan merugikan.  Selain daripada gagal merealisasikan matlamat, tabiat suka melengahkan kerja ini juga akan membawa masalah-masalah lain yang serius di dalam hidup kita.  Ia boleh menambahkan stress, memberi kesan negatif kepada pendapatan, mengeruhkan perhubungan dan juga boleh menjejaskan kesihatan. 
 
Bayangkan, jika kita seorang businessman.  Disebabkan kita sentiasa menangguhkan kerja sehingga ke saat akhir,   kita akan bekerja di dalam tekanan untuk menyiapkan tugas tersebut.  Kemungkinan kita tidak dapat menyiapkan permintaan pelanggan tersebut ataupun kalau siap pun, mungkin kualiti yang dihasilkan tidak memuaskan hati pelanggan. Disebabkan ini, hubungan kita dengan pelanggan akan terjejas dan akhirnya peluang untuk kita berurusniaga dengan mereka di masa akan datang mungkin tidak akan ada.    

Sebab-sebab seseorang itu suka menangguhkan pekerjaan adalah:-
 
1.  Tidak serius di dalam membuat sesuatu keputusan.
2.  Tiada matlamat hidup yang jelas.
3.  Tiada deadline di dalam mencapai matlamat.
4.  Terlalu banyak alasan untuk menangguhkan kerja.

Biasanya seseorang yang suka menangguhkan kerja tidak akan berjaya di dalam hidup mereka.  Selagi mereka tidak mahu mengubah tabiat dan cara pemikiran mereka,sukar untuk mereka bersaing dengan orang lain. 

Sebagai seorang manusia yang bijak, kita harus pandai menguruskan masa kita agar kita tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi di masa akan datang. 
 
"YOU MAY DELAY, BUT TIME WILL NOT"

JANGAN MENGELUH


Hidup dan cabaran merupakan dua perkara yang sentiasa saling berhubung kait di antara satu sama lain.  Tiada seorang pun manusia yang hidup di muka bumi mengalami perjalanan hidup yang sentiasa senang tanpa sebarang dugaan dan cabaran.  Mesti ada suatu saat dan ketika di dalam kehidupan kita akan diuji dan dicabar oleh Sang Pencipta.

Cabaran itu ada berbagai bentuk.  Ada orang yang diuji dengan kesenangan dan kemewahan.  Ada pula orang yang diuji dengan kesusahan dan kepayahan.  Masing-masing tidak sama nasib kehidupan mereka.  Bergantung kepada sejauh mana kekuatan yang mereka ada.
"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"  (Surah Al-Baqarah:286)

Setiap cabaran dan ujian yang diberikan pasti ada disediakan jalan penyelesaiannya.  Cuma kita sebagai hamba hendaklah sentiasa berusaha dengan penuh kesabaran dan sentiasa bertaqwa kepadaNya.

"...Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.  Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya keperluannya."  (Surah Al-Talaq:2-3)

Dan bagi setiap cabaran yang ditempuhi hendaklah kita terima dengan hati yang redha.  Hanya dengan yang demikian barulah kita boleh maju kehadapan dan melangkah setapak lagi ke tahap yang lebih tinggi dan lebih baik.  Jangan kita asyik mengeluh dan merintih kerana dengan berbuat demikian masalah tetap tidak akan selesai. 


"Jangan menunggu bahagia baru tersenyum.  Sebaliknya senyumlah nescaya anda akan behagia."

"Jangan menunggu orang memahami kita.  Sebaliknya fahamilah orang disekeliling kita, nescaya mereka akan memahami kita." 

"Jangan menunggu boleh, baru nak melakukan.  Sebaliknya lakukan dahulu, pasti kita boleh."

"Jangan menunggu berjaya baru nak bersyukur.  Sebaliknya bersyukurlah dengan apa yang ada, InsyaAllah akan bertambah kejayaan kita nanti."

Thursday, 20 September 2012

TERTIPU




Mengapa wanita mudah sangat tertipu.  Lihat saja berita hari ini.  Wanita yang tertipu dengan tawaran pekerjaan yang dijanjikan gaji yang amat lumayan telah dirogol dan disamun. 
 
Yang peliknya begitu banyak kes-kes seperti ini telah dilaporkan oleh akhbar-akhbar dan televisyen, namun masih ramai juga yang seperti tidak peka tentang perkara ini.  Adakah ini disebabkan oleh sikap tidak mengambil tahu masyarakat ataupun kita begitu bodoh sehingga tidak boleh membezakan yang mana betul dan yang mana salah.
 
Sepatutnya selidiklah dahulu dengan teliti sesuatu perkara sebelum mempercayainya.  Adakah logik ataupun tidak tawaran yang dinyatakan.  Jangan cepat terpedaya dengan angka yang dipaparkan. 
 
Jadilah manusia yang bijak menilai.  Jangan ikut perasaan sebaliknya gunakanlah akal yang Allah kurniakan sebelum bertindak.  Jadilah masyarakat yang perihatin.
 

PERBEZAAN RUMAH




KOLEKSI DOA DIMURAHKAN REZEKI DI KALA KESEMPITAN


Koleksi Doa Di Murahkan Rezeki Di Kala Kesempitan


Berikut ialah Koleksi Doa Di Murahkan Rezeki Di Kala Kesempitan yang boleh diamalkan.
 
“Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semua itu tersurat di dalam kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat) yang berkenaan.” – (Surah Hud:6)
 
Menurut Hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam r.a, beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy’ariyyin yang baru sampai daripada perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka mengutuskan seorang dari kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Nabi S.A.W.
 
Apabila para utusan kaum tersebut tiba di rumah baginda Rasulullah S.A.W, beliau mendengar baginda Rasulullah S.A.W membacakan ayat ke-6 daripada surah Hud ini. Utusan tersebut pulang semula kepada keluarganya dan tidak jadi meminta makanan daripada Rasulullah kerana berasa yakin dengan doa yang dibaca oleh Rasulullah.
 
Setibanya beliau kepada kaum keluarganya tanpa diketahui kaum keluarganya , datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati makanan tersebut sepuas-puasnya masih banyak lagi baki yang tnggal. Akhirnya mereka meminta agar diberikan kepada Rasulullah S.A.W untuk diagihkan kepada orang lain yang memerlukan makanan.
Selepas itu mereka bertemu dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih. Rasulullah S.A.W menafikan penghantaran makanan itu.
 
Sahabat yang merupakan utusan keluarga tersebut akhirnya membuat pengakuan yang dia tidak meminta makanan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W kemudiannya menyatakan itulah dia rezeki Allah yang Allah janjikan buat makhluk-Nya. (Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6 surah Hud)
 
Alhamdulillah, maka marilah sama-sama kita amalkan doa ini dan jadikanlah ia doa amalan harian agar kita sentiasa dilimpahi rezeki Allah S.W.T terutama ketika kesempitan. Tetapi perlu juga ingat bahawa doa semata-mata tanpa usaha dan tawakal adalah tidak berguna. Wallahualam.

Credit to iluvislam.com
 
Blog Widget by LinkWithin