Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah
merupakan seorang wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia telah dilahirkan sekitar
awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq di dalam sebuah
keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada
Allah. Bapanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai
Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam
di dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelum itu terkenal dengan ketaqwaan telah
mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari
kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat begitu berleluasa. Pekerjaan menyanyi,
menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Ketajaman iman mulai tumpul
dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali dari kehidupan masyarakat di situ.
Namun begitu, Allah telah memelihara
sebilangan kaum Muslimin agar mereka tidak terjerumus ke dalam kancah fitnah dan maksiat. Pada
masa tersebut muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin
oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka
telah menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala
tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang
benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang
sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah perputus asa di dalam
mensyukuri nikmat Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi seorang muslimah yang
berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya berpandukan al-Quran semata-mata.
Hasilnya, Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran
sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran keseluruhannya. Sejak kecil lagi Rabi’ah
sememangnya mempunyai jiwa yang halus, keyakinan yang tinggi serta keimanan yang
mendalam.
Setelah mencapai alam kedewasaannya,
kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau
ditinggalkan ayah dan bondanya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang
bertujuan bagi membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah
terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah daripada Allah SWT dan dengan asas
keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali
ke jalan yang benar dan bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedarkan serta mendorong
hati kita untuk merasai cara yang sepatutnya seorang hamba bergantung harap kepada
belas ihsan Tuhannya.
Di antara ucapan Rabi’ah
sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah SWT:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku
berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan
diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku
dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah
menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya
dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara
binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang
mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang
melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan
melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada
sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur dan
semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang
banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan
kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat
kepada-Mu.”
Rabi’ah juga menangis, memohon
belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan
orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut
bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak
di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap,
siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang
berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan
Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan
beliau, sehinggalah fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan
seperti:
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan
pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan
menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya
maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal
selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu,
jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak
bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta
kepada-Mu.”
Rabi’ah pernah menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi
sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku.
Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa
pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak mencintai
yang lain selain daripada Allah SWT. Beliau terus-menerus mencintai Allah
dengan tujuan untuk mencapai keredaan
Allah semata-mata. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya
kepada akhirat dan beliau sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya
dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari bagi mengingati kematian.
Selama 30 tahun beliau mengulangi kata-kata ini dalam solatnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di
dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku
daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur
berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih
lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara
yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi
itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwanya. Dia memulakan fahaman
sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah
diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan
membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba
yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah
berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut
daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu
kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku
menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang
besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia
itu.”
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah
yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya.
Rabi’ah meninggal dunia pada tahun 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80
tahun.
“Ya Allah! Ampunilah aku.
Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu
yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku
daripada tipu daya yang mengasyikkan.”