ISLAM memerintahkan kita umatnya untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan kerana ia akan memberikan kita ketenangan jiwa dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa." – (Surah Ali Imran, ayat 133).
Orang yang sentiasa ingat akan mati sudah pasti akan bersegera melakukan amal kebaikan dan bertaubat serta meninggalkan segala amalan yang memungkinkan dirinya dimasukkan ke dalam neraka kelak.
Hasan Al-Basri berkata:
"Bersabarlah dan bersiaplah kamu. Sebab yang ada hanyalah hari-hari yang singkat. Kamu hanyalah kafilah yang berhenti sebentar. Salah satu dari kamu hampir dipanggil lalu dia datang mengadap dan tidak menoleh-noleh. Maka berpindahlan kamu dengan membawa amal kamu yang soleh."
Sebaliknya orang yang lalai dan alpa akan sentiasa menunda-nunda atau menangguh-nangguh dari melakukan amalan kebaikan kerana dirinya merasakan bahawa waktu kematiannya masih jauh. Masih belum waktunya untuk berubah menjadi hamba yang lebih baik. Bila hampir masanya nanti barulah bertaubat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Bersegeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir dan begitu juga sebaliknya seorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit, (Hadis Riwayat Muslim)."
Dalam hadis di atas, Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Akan datang satu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan. Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Malah, mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini sehingga terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya.
Ingatlah wahai sahabatku sekalian, kita semua tidak pasti bilakah ajal akan menjemput kita. Hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui masa, tempat dan bagaimana kita akan dijemput kepada-Nya kelak. Oleh yang demikian adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk sentiasa menyiapkan diri dengan sebanyak mungkin amalan sebagai bekalan agar kita terselamat di hari dimana semua harta kekayaan dan pangkat darjat sudah tidak mampu membantu kita lagi.
Rasulullah S.A.W. sering berpesan kepada umatnya supaya tidak mensia-siakan waktu yang terluang berlalu pergi begitu saja tanpa pengisian amal yang terbaik. Setiap Muslim hendaklah menginsafi bahawa waktu yang sedang berlangsung ini sangat berharga dan tidak dapat diganti sama sekali
Abdullah bin Umar radhiyallahu’anhuma berkata : Rasulullah S.A.W. memegang kedua pundakku dan mengatakan, ”Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau orang yang singgah di perjalanan.” Ibnu ‘Umar berkata, “Kalau engkau berada di waktu pagi jangan sekedar menunggu datangnya waktu sore. Kalau engkau berada di waktu sore jangan sekedar menunggu datangnya waktu pagi. Manfaatkanlah waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu. Dan gunakanlah masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” (HR. Bukhari)
Semoga Allah menjadikan kita semua tergolong di dalam golongan hamba-hamba-Nya yang tidak sombong kerana nikmat-Nya, tidak lalai dalam beribadah kepada-Nya dan tidak menyesal setelah kematian menjemput kita kepada-Nya.
Ibnu Mas'ud ra berkata:-
"Tidak ada seorang diantara kita kecuali merupakan tetamu dan hartanya adalah pinjaman. Sedangkan tetamu pasti akan berangkat pulang dan pinjaman pasti dikembalikan."
Manakala Salman Al-Farisi pula pernah berkata:-
"Ada tiga hal yang mengagumkan aku sampai aku tertawa: iaitu orng yang mengharapkan dunia sementara maut selalu mengejarnya, orang yang lupa sementara dia tidak dilupakan dan orang yang tertawa sementara dia tidak tahu apakah Tuhan semesta alam meredainya atau memurkainya. Dan ada tiga hal yang menyusahkan aku sampai aku menangis kerananya: berpisah dengan orang-orang tersayang, iitu Nabi S.A.W. dan para sahabat baginda, pemandangan yang menakutkan dan berdiri dihadapan Allah sementara aku tidak tahu akan diperintahkan aku kemana; ke syurga atau ke neraka."
Allah memberi panduan supaya setiap Muslim setelah selesai menunaikan satu amalan, maka waktu yang terluang hendaklah diisi dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). – (Surah al-Insyirah, ayat 7).
Wahai sahabat-sahabatku sekalian! Bersama-samalah kita bersegera kearah melaksanakan amalan-amalan kebaikan. Janganlah kita bertangguh-tangguh lagi kerana masa tidak menunggu kita. Semoga kita semua menjadi hamba-Nya yang berjaya di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment