Kebersihan di dalam Islam bermakna kebersihan rohani dan jasmani. Kita semua sudah sedia maklum mengenai kebersihan rohani, namun kita sering lupa mengenai kebersihan luaran/jasmani. Semua orang berusaha untuk menjaga kebersihan jiwa dan hati nurani namun mereka lupa untuk berusaha membaiki kebersihan luaran yang tidak juga amat dituntut di dalam agama kita. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud:-
"“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:-
“Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”
Dari hadis di atas kita diingatkan betapa agama amat menekankan perkara yang berkaitan dengan kebersihan, baik dari segi menjaga kebersihan diri, rumahtangga dan keluarga, tempat yang kita gunakan untuk beribadah, masyarakat serta negara. Sesebuah negara yang bersih akan menggambarkan rakyatnya yang bertamaddun. Negara yang tidak menjaga kebersihan, rakyatnya terdedah kepada pelbagai penyakit merbahaya seperti denggi, taun dan sebaginya.
Nabi Muhammad SAW sangat menekankan tentang masalah kebersihan pakaian, badan, rumah, jalan-jalan, kebersihan gigi, tangan dan kepala. Pernah ada seorang laki-laki datang kepada Nabi, rambut dan janggutnya tidak terurus. Kemudian Nabi memerintah lelaki tersebut supaya merapikan rambut dan janggutnya. Selepas lelaki terbabit melaksanakan permintaan Nabi S.A.W., beliau kembali menghadap Nabi. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:-
"Bukankah ini lebih baik daripada dia datang dengan rambutnya serabut seperti syaitan?" (HR. Imam Malik)
Pernah juga Nabi melihat seorang yang pakaiannya kotor sekali, maka Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:-
"Apakah orang ini tidak mendapatkan sesuatu yang dapat dipakai untuk mencuci pakaiannya?" (HR. Abu Daud)
Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan berita yang menggambarkan keadaan di sekitar Pudu yang busuk, jijik dan kotor. Kita tahu bahawa Pudu merupakan lokasi yang sering dikunjungi oleh pelancung asing. Dapatkah kita semua bayangkan apa yang mereka semua nanti akan perkatakan tentang negara kita, lebih-lebih lagi apabila mereka pulang ke negara asal mereka nanti.
Difahamkan semua ini terjadi akibat dari perbuatan segelintir warga asing yang mengambil mudah serta sesuka hati membuang sampah di kaki lima jalan dan longkang. Dimanakah anggota penguatkuasa yang sepatutnya mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini?
Sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada hadis-hadis di atas. Jagalah kebersihan jiwa dan luaran kerana semua itu menggambarkan tahap keimanan kita. Islam itu indah dan Allah dan Rasul-Nya sangat mencintai keindahan.
No comments:
Post a Comment